
KEHADIRAN lampu hiasan melengkapkan fungsinya sebagai penyeri dan menerangi segenap ruang kediaman khususnya menjelang Aidilfitri ini.Pilihan lampu hiasan sesuai dan memenuhi konsep dekorasi hakikatnya mampu memberikan impak menarik kepada rona penataan cahaya itu sendiri.Uniknya segenap ruang tampil dalam senario berbeza jika bijak menyesuaikan kedudukan lampu hiasan dengan perabot atau aksesori hiasan dalaman lain.Suatu ketika dulu, lampu hiasan hanya menyerlahkan penataan warna untuk ruang tidur saja.
Kini, pereka dalaman makin berani mengetengahkan elemen menarik itu tanpa mengganggu konsep sentuhan idea dalam menyerikan ruang tamu, ruang makan dan ruang santai.
Senario indah dan pesona memenuhi segenap ruang terutama ketika malam dengan kombinasi lampu hiasan pelbagai reka bentuk.Bagi anda yang menggemari konsep hiasan dalaman bertemakan klasik, moden dan ringkas, pilihan lampu hiasan penting sebagai pelengkap.Walau apa jua konsep dekorasi pilihan, suasana di ruang makan patut terang dan ceria bagi memudahkan anda dan tetamu melihat makanan dengan jelas.
Ketelitian dalam memilih lampu hiasan juga mampu menyerlahkan ruang kediaman supaya lebih menarik. Bagi memilih reka bentuknya, arah sinar lampu terbabit perlu diberi perhatian dan keindahan ruang tampil berbeza jika menggunakan lampu yang memberikan pencahayaan setempat.Kini rekaan kontemporari bukan saja menampilkan gaya moden, tetapi lebih eksklusif dan kehadirannya perlu disesuaikan dengan konsep ruang.
Lampu meja atau dinding yang dicipta dengan arah sinar sama ada ke bawah mahu pun ke atas sebenarnya berupaya menghasilkan sinaran secara langsung atau sebaliknya.Sementara lampu hiasan berbentuk terendak lebih memenuhi konsep kontemporari dan sinaran arah lampunya berfungsi mencipta keserasian gaya yang digemari.


No comments:
Post a Comment