Wednesday, November 24, 2010

Mood cerita rumah banglo



Pandangan dari luar banglo mewah tampak menarik dengan rekaan moden berkonsep kekeluargaan.


Fungsi sesebuah kediaman ialah memberikan keselesaan mutlak kepada setiap

penghuninya. Selain praktikal, penentuan dan pemilihan konsep turut mencerminkan cita rasa pemilik kediaman itu sendiri.

Kunjungan penulis ke kediaman bekas seorang ahli korporat yang terletak di sebuah kawasan kediaman mewah di Shah Alam, baru-baru ini nyata menzahirkan segalanya.

Suasana kekeluargaan dan persaudaraan dijadikan ilham untuk menghasilkan rekaan bersifat mesra alam dengan gandingan elemen tropika resort yang tidak ketinggalan zaman dan sentiasa diminati.

Reka bentuk binaan yang memberi tumpuan kepada konsep moden penuh dengan nilai seni bina tersendiri cukup membuatkan mata terpukau.

Kedudukan yang strategik juga turut menawarkan nilai modal terbaik dan memberi peluang kepada pemilik kediaman itu menikmati persekitaran eksklusif.

Disebabkan pasangan suami isteri ini sangat menggemari suasana nyaman seolah-olah berada di sebuah tempat percutian, konsep terbuka diadaptasi pada hampir keseluruhan kediaman kerana ia antara elemen semula jadi diingini.

Pembahagian dan pecahan setiap ruang di kediaman ini kelihatan sempurna dengan gabungan perabot bersesuaian sekali gus ia tempat paling ideal bagi setiap ahli keluarga meluangkan masa bersama-sama selain memudahkan apa sahaja majlis keraian diadakan.

Diperkemaskan lagi dengan ciri eksklusif khususnya dari segi pemilihan cat dinding, perabot serta hiasan dalaman yang sepadan, banglo mewah ini cukup istimewa.

Berpeluang meninjau secara keseluruhan banglo berkeluasan 1,858 meter persegi ini, penulis dapat menyimpulkan pemiliknya amat menitikkan kesempurnaan bukan sahaja dari segi ruang tetapi juga hiasan dalamannya.

Buktinya, binaan kemasan lantai daripada kayu keras, kemudahan dan ruang mewah dengan siling tinggi, unit penyaman udara dengan kelengkapan bermutu serta jaminan kawalan keselamatan.

Bermula dengan latar ruang tamu yang bergaya ringkas tetapi kemas, keindahan penataan ruang menyerlah dengan kemasan jubin menarik.

Pilihan perabot eksklusif, aksesori hiasan dalaman yang unik dan kombinasi cahaya lampu menyuntik suasana ruang dramatik. Tidak ketinggalan pilihan perabot bergaya polos dengan hamparan permaidani berkualiti secara langsung menyamankan suasana sepanjang masa.

Rekaan langsir dengan gabungan krim dan emas berbentuk scallop dengan bentuk rekaan klasik nyata amat sesuai bagi kediaman besar.

Sambil meneliti dekorasi ruang tamu serba indah itu, mata tentunya tidak terlepas pandang sudut balkoni yang membawa pandangan luar banglo dua tingkat itu.

Meninjau ke luar, angin sepoi-sepoi bahasa bagai menampar pipi. Mata tidak hanya tertumpu kepada kolam renang yang letaknya betul-betul di ruang hadapan, tetapi saujana mata memandang melihat kawasan hijau yang bagaikan taman terus menenangkan jiwa. Suasana tersebut jelas membuktikan jiwa pasangan ini terlalu dekat dengan alam.

Binaan tingkap yang mempunyai bukaan luas supaya tidak ada sempadan ketara antara luar dan dalam. Binaan seperti itu membenarkan angin dan pancaran semula jadi menerobos ke dalam kediaman yang mengundang satu kepuasan.

Ia juga menjadikan suasana nyaman dan terapi minda. Selain pokok renek yang mempunyai bunga pelbagai warna dan tekstur daun menarik mengindahkan suasana taman, turut ditanam pelbagai jenis sayur-sayuran seperti tomato, bayam dan sebagainya.

Ketika dibawa meninjau ke bilik tidur tetamu, yang letaknya bersebelahan ruang tamu kedua, idea dekorasi yang tidak kurang menarik turut diketengahkan.

Kemasan dinding yang agak ringkas lengkap dengan penataan cahaya ceria cukup merangsang minda. Tidak hanya dilengkapi bilik tidur tetapi bilik air yang luas bertujuan memberi keselesaan kepada tetamu.

Sesuatu yang istimewa kediaman ini turut didiami dua anak lelakinya, menantu serta sembilan orang cucunya, kecuali anak perempuan bongsunya yang menetap bersama keluarga mertua. Banglo yang sudah didiami hampir tujuh tahun ini sengaja dibina sayap kiri dan kanan khusus untuk kedua-dua anak lelaki mereka selesa tinggal bersama keluarga masing-masing.

Pasangan yang telah mendirikan rumahtangga lebih tiga dekad ini amat bersyukur kerana anak menantu serta cucu-cucu menetap sekali di kediaman sama, sekali gus memberi peluang mewujudkan hubungan lebih akrab sesama mereka.

Biarpun tidak tinggal sekali dan hanya pulang seminggu sekali, bilik anak perempuan pasangan tetap dijaga dengan baik. Ketika dibawa menjenguk ke bilik yang terletak di tingkat atas bahagian hadapan banglo itu, permukaan lantai dipasang kemasan kayu berlamina memberikan corak berbeza pada ruang berkenaan.

Pilihan perabot dan kelengkapan tidur selesa serta praktikal menjadi keutamaan dalam usaha menyerlahkan konsep hiasan terbaik selain menitik beratkan keselamatan.

Melalui bilik tersebut, penulis dibawa meninjau secara keseluruhan kediaman tersebut di tingkat atas. Rekaan banglo yang cukup unik dengan laluan yang boleh menghubungkan ruang makan di tingkat bawah hingga ke beberapa bilik termasuk bilik utama dan bilik di sayap kiri dan kanan banglo.

Ketika melalui bahagian tengah banglo, sudut riadah yang menempatkan beberapa kelengkapan peralatan sukan kelihatan memenuhi ruang sekali gus menggambarkan keluarga ini amat mementingkan gaya hidup sihat.

Menuruni tangga, mata tidak terlepas pandang kepada hiasan dinding yang dihias ayat-ayat suci al-Quran yang dibingkai indah, tidak terkecuali lampu siling yang diperbuat daripada kristal.

Meninjau pula ke ruang makan, mata tertumpu kepada pintu gelongsor kaca berekaan moden sebagai pembahagi ke laluan ruang makan. Pemilik sengaja membina dua bahagian iaitu untuk keluarga dan tetamu yang mempunyai keluasan cukup selesa.

Ruang makan tetamu menempatkan sebuah meja makan dengan 10 dudukan dengan perabot mewah yang dipilih sesuai warna langsir bernada krim dan emas.

Sementara ruang makan keluarga turut dilengkapi meja makan yang sering digunakan keluarga ini untuk menikmati makan tengah hari atau malam terutama pada hujung minggu.

Kolam ikan yang terletak bersebelahan ruang makan sengaja dibina untuk memberi peluang kepada penghuni meninjau ikan-ikan bermain sambil mendengar pancuran air yang mendamaikan.

Pasangan yang cukup mementingkan kesederhanaan itu turut bersetuju dengan sesetengah pendapat menghias kediaman bagaikan terapi yang memberikan seribu kepuasan kepada pemiliknya, apatah lagi jika kediaman selesa dapat menyatukan ahli keluarga.


kredit utusan malaysia.

No comments:

Realisasikan Rumah impian anda.

Apa khabar semua....saya amat berminat dengan dunia perabot dan hiasan dalaman dan ingin berkongsi pengalaman dan impian dengan anda semua.Untuk Hubungi saya. sila email lalitafazura@yahoo.com