Keunikan resort atas bukit
SAUJANA INDAH...panorama memukau dapat disaksikan sebaik berada di kolam renang.
PENGALAMAN berbeza tentunya dilalui sesiapa saja yang pernah mengunjungi Saufiville Boutique Resort, lokasi percutian simbolik kedamaian.
Perjalanan yang sedikit mencabar bagaikan hilang serta-merta sebaik sampai di pekarangan butik resort kerana mata terpukau dengan segala keindahan landskap semula jadinya.
Butik resort di Kampung Chemperuh, Janda Baik, Bentong, Pahang itu menawarkan keunikan tersendiri kerana berada di kawasan berbukit.
bersantai di hadapan kolam renang.
Berbekalkan udara nyaman dan dingin, panorama saujana indah Banjaran Titiwangsa dapat dinikmati sepenuhnya dan menggambarkan betapa agungnya ciptaan Ilahi.
Alangkah bertuahnya penulis ketika sampai di situ hujan baru berhenti dan berpeluang menyaksikan kabus tebal melitupi Banjaran Titiwangsa.
"Inilah antara keistimewaan Saufiville Boutique Resort yang jarang ditemui di tempat lain kerana bukan sekadar jauh dari hiruk pikuk kota malah melengkapkan percutian anda.
"Sejak dulu, landskap semula jadi dikekalkan keunikannya dengan aspek penyelenggaraan diberi tumpuan utama supaya menarik sepanjang masa," kata pemiliknya Raja Izrinda Raja Ismail.
Dia yang turut dibantu suami tercinta, Sarofini Saufi Mohd Saufi, berkata gaya penataan landskap bermula dengan menempatkan beberapa tanaman renek bahagian tengah laluan yang membolehkan pemandangan itu antara pertama ditatap sebaik sampai ke Saufiville Boutique Resort.
Sementara itu, di kiri dan kanan kelihatan hijau semula jadi berlatarkan beberapa spesies eksotik dan berbunga berbau harum seperti mawar, kenangan dan melur.
"Kami menanam pokok buah-buahan tempatan termasuk rambutan, manggis dan langsat.
"Tanaman dan sayur-sayuran pelengkap sajian kafe butik resort ini ditanam sendiri," katanya.
Sebuah buaian diletakkan pada sudut khas di tepi pekarangan butik resort itu untuk memberikan keselesaan dan santai kepada anda menginap.
Latar landskap juga dilengkapi dengan wakaf istirahat unik yang menyajikan pemandangan indah persekitaran hingga membuai rasa.
Sistem saliran serta perparitan dirancang merentasi landskap bagi memastikan air disalirkan ke seluruh kawasan supaya suasana lebih kelihatan semula jadi.
Konsep landskap yang diadun berpandukan cita rasa peribadi itu mampu memancing kekaguman pengunjung butik resort terutama pelancong luar negara.
Seni bina yang mementingkan nilai estetika dan penuh ketelitian turut membuatkan Saufiville Boutique Resort tersergam megah lain dari yang lain.
Bahagian hadapannya diserikan dengan kemasan batuan rona semula jadi dan elemen hiasan ringkas seolah-olah memperlihatkan gaya Nusantara.
Sebaik melangkah masuk dekorasi sempurna dapat dilihat dengan idea penataan yang memberikan keselesaan laluan pergerakan.
"Setiap sudut dan idea dekorasi mengambil kira keunikan dan keselesaan tetamu yang menginap di sini.
"Apatah lagi setiap bilik menawarkan pemandangan landskap indah yang boleh dilihat terus dari tingkap," kata Raja Izrinda.
Bersebelahan dengan ruang utama pula mata terpukau dengan binaan kolam renang yang dibentuk tanpa tembok konkrit.
Sekali pandang, bentuknya seolah-olah mengunjur serta bersambung dengan Banjaran Titiwangsa yang terbentang di hadapannya.
"Panorama indah ini bagaikan titik fokal terbaik dan ia menjadi tarikan utama sesiapa saja untuk datang ke butik resort ini.
"Kebanyakan pengunjung yang kami temui ternyata terpukau dan kagum dengan reka bentuk kolam dan panorama indah terbentang luas di depan mata," katanya.
Menariknya Saufiville Boutique Resort yang beroperasi sebagai pusat penginapan sejak setahun lalu itu menawarkan pakej istimewa untuk percutian anda.
berminat boleh google yer
source metro